Tuesday, 12 March 2013

Sejarah

Program Pendidikan Khas Integrasi SMK Dato’ Haji Talib Karim ditubuhkan pada Januari 2006. Guru yang bertanggungjawab membuka program ini adalah Encik Yunus bin Omar yang merupakan penyelaras program di SMK Dato’ Haji Talib Karim pada ketika itu. Menurut beliau, semasa beliau sedang menimba ilmu di maktab perguruan, beliau telah pergi ke SMK Dato’ Haji Talib Karim untuk melakukan ujian diagnostik kepada murid yang lemah. Daripada ujian diagnostik yang telah dijalankan beliau mendapati ciri-ciri murid pendidikan khas ada pada beberapa murid SMK Dato’ Haji Talib Karim dan ia menarik perhatian pengetua lalu beliau mencadangkan Encik Yunus untuk membuka program pendidikan khas integrasi di sekolah ini. Encik Yunus telah memohon kebenaran Unit Pendidikan Khas Jabatan Pelajaran Melaka untuk membuka program pendidikan khas integrasi di SMK Dato’ Haji Talib Karim dan permohonan tersebut diluluskan.
Pada awal penubuhan program, hanya 4 orang murid sahaja yang berdaftar sebagai murid pendidikan khas ketika itu. Murid-murid tersebut merupakan murid pendidikan khas yang telah dipindahkan dari SMK Seri Pengkalan ke sekolah ini. Pada bulan Jun 2006, seramai 6 orang murid lagi dari aliran perdana dan kelas pemulihan SMK Dato’ Haji Talib Karim telah diserap masuk ke program pendidikan khas. Encik Yunus pada ketika itu telah dibantu oleh seorang guru sandaran tidak terlatih sehingga bulan Disember 2006. Pada awal 2007, dua orang guru tetap telah mula berkhidmat sebagai guru pendidikan khas di program ini iaitu Pn. Wan Sakinah dan En. Hasrim serta dibantu oleh dua orang Pembantu Pengurusan Murid (PPM) iaitu Pn. Jamilah dan Cik Nursalwana yang mula berkhidmat pada Jun 2007. Matapelajaran yang telah diajar pada ketika itu adalah matapelajaran asas iaitu Bahasa Melayu, Kemahiran Hidup, Matematik dan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.
Program ini mula-mula ditubuhkan atas tapak surau lama dan kini telah menjadi bilik kaunseling. Program ini telah berpindah ke bangunan baru pada tahun 2008 secara rasminya. Bangunan baru ini dibahagikan kepada 10 bahagian iaitu 5 buah kelas, 1 ruang dapur, 2 ruang rekreasi, 1 bilik stor dan 3 bahagian tandas. Bangunan ini memberi lebih keselesaan untuk menjalankan aktiviti P&P. Sehingga tahun 2013, pelajar pendidikan khas telah bertambah seramai 35 orang murid, 6 orang guru dan 2 orang Pembantu Pengurusan Murid.

No comments:

Post a Comment