Falsafah

FALSAFAH PENDIDIKAN KHAS

a.    Pengenalan

Pendidikan Khas adalah satu program pendidikan untuk murid-murid berkeperluan khas. Individu yang berada di dalam Program Integrasi Pendidikan Khas (Bermasalah Pembelajaran) PIPK merupakan mereka yang terdiri daripada pelbagai kategori seperti sindrom down, perkembangan lewat, autisme, hiperaktif, disleksia dan terancat akal. Objektif yang terdapat dalam kurikulum sedia ada terlalu tinggi untuk murid PIPK menguasai kemahiran yang sesuai dengan tahap keupayaan masing-masing.
   
Oleh itu, untuk memenuhi keperluan murid berkeperluan khas, program pengajaran dan pembelajaran yang dibentuk adalah fleksibel selaras dengan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997 yang menyatakan “guru-guru boleh mengubahsuai kaedah pengajaran dan pembelajaran, masa bagi aktiviti dan susunan aktiviti, mata pelajaran dan bahan bantu mengajar bagi mencapai tujuan dan matlamat pendidikan khas.

b.    Falsafah Pendidikan Khas

Pendidikan khas di Malaysia adalah satu usaha yang berterusan untuk melahirkan insan yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, mampu merancang dan menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif selaras dengan falsafah pendidikan negara.